October 8, 2009

Rumah Terbuka

Syawal tinggal beberapa hari lagi untuk sampai ke penghujung. Sape yang belum buat puasa sunat Syawal tu, masih lagi berkesempatan untuk melakukannya. Ganjarannya besar; sesiapa yang berpuasa sebulan Ramadan dan ditambah dengan 6 hari puasa sunat Syawal, seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.

Ketika masih lagi dalam bulan Syawal ni, rumah terbuka (open house) Aidilfitri masih lagi diadakan. Rasanya kalau di Malaysia rumah terbuka Aidilfitri tentu lebih meriah dan lebih banyak diadakan. Saudara-mara, sahabat-handai, rakan sepejebat, jiran-tetangga, wakil rakyat dan para pemimpin negara tentunya mengadakan rumah terbuka Aidilfitri ini. Setakat ini, aku tak pernah lagi menghadiri rumah terbuka anjuran mana-mana pemimpin negara atau parti politik. Isteri aku adalah sekali tu pergi rumah terbuka Mahathir di Putrajaya, semasa beliau masih lagi Perdana Menteri Malaysia. Itu pun sebab ikut mak dan ayah dia ( kami tak kahwin lagi masa tu).

Sebut pasal rumah terbuka nie, teringat aku pada arwah mak aku. Dulu, semasa kami tinggal di Terengganu, keluarga aku rajin buat rumah terbuka setiap hari raya Aidilfitri. Biasanya kami akan buat pada hari raya kedua. Hari raya pertama kami balik kampung di Dungun. Biasanya kami balik hari, tidak bermalam sebab nak bagi peluang kepada saudara-mara yang datang dari jauh bermalam di rumah toki.

Menu yang biasa arwah mak aku masak ialah nasi beriani. Biasanya jemputan mula datang seawal jam 11 pagi hinggalah ke 10 malam. Yang datang tu memang ramai, tak putus-putus; saudara-mara, jiran tetangga dan kawan-kawan. Sebagai back-up, takut lauk tak cukup, arwah mak aku dah buat deal dengan penjual ayam di pasar berdekatan. Kami boleh pergi ke rumah dia untuk dapatkan bekalan ayam. Kebetulan dia memang bela ayam sendiri depan rumah dia. Pasarkan masih lagi tutup sebab baru hari raya kedua. Akulah yang biasa pergi ambik bekalan ayam tu. Penat memang penat masa hari terbuka tu. Tapi rasa seronok sebab semua saudara-mara boleh berkumpul bersama-sama. Tugas yang biasa aku buat semasa rumah terbuka nie ialah bancuh air dan basuh pinggan.

Kenangan membuat rumah terbuka bersama arwah mak sentiasa terpahat di hati aku.




No comments:

Post a Comment