January 8, 2011

A South Trip 4

Jam 9 pagi, kami keluar rumah untuk berjalan-jalan sekitar bandar Dunedin. Destinasi pertama kami ialah Larnach Castle. Kalau ikutkan brosur dalam internet, Larnach Castle merupakan satu-satunya castle di NZ nie. Terletak di Otago Peninsula dan mengambil masa lebih kurang 20 minit dari bandar Dunedin.

Tibanya di sana, kami dimaklumkan bahawa kamera tidak boleh digunakan di dalam castle. Tapi di taman castle boleh. Aku juga baru mendapat tahu di sana bahawa Larnach Castle nie sebenarnya bukan castle yang real. Ia hanyalah sebuah rumah besar yang dibina oleh seorang yang kaya. Dah tu hang pi bubuh dalam brosur internet habaq yg this is the only castle in New Zealand buat pa? Nak masuk kena bayar pulak tu. Lepas tu tak boleh ambik gambar lagi. Depa kata duit bayaran masuk tu digunakan untuk kos penyelengaraan bangunan.

Memang besar ler Larnach Castle nie. Siap ada ballroom dan kandang kuda. Garden pun besar dan cantik. Design pun memang sebijik macam castle.

Ikut catatan yang ada, Larnach Castle ini sebenarnya ialah sebuah manor house atau mansion. Ia adalah milik William Larnach, seorang banker dan ahli politik dan mula dibina pada tahun 1871. Larnach menggelar rumahnya sebgai The Camp tetapi orang lain memanggilnya sebagai Larnach's Castle. Kini ia telah dimiliki oleh keluarga Barker yang telah membeli "castle" ini pada tahun 1967. Aku tak tahu pulak apa jadi pada keluarga Larnach nie.


Larnach Castle

Ballroom. Kini telah menjadi cafe.


Dalam ballroom.


Depan Larnach Castle. Gambar diambil dari puncak menara.

Selesai di Larnach Castle, kami bertolak ke bandar Dunedin. Nak pusing-pusing sekitar bandar Dunedin. Dunedin nie terkenal dengan seni beni arkitek bangunan lama. Banyak pengaruh Victorian, Edwardian dan Gothic.

Stesen Kereta Api Dunedin

Di dalam Stesen Kereta Api Dunedin.


Otago Boy's High School




Menara jam University of Otago merupakan landmark bagi universiti ini.



Lepas pusing-pusing bandar Dunedin, kami pergi ke Baldwin Street, yang dikatakan lorong paling curam di dunia. Walaupun dikatakan lorong paling curam, masih terdapat rumah sepanjang lorong tersebut. Lorong ini dibina sepanjang 350 meter. Ia mengambil masa lebih kurang 10 minit berjalan kaki ke puncak lorong. Lorong ini dibuat daripada konkrit, bukan tar.

Terdapat pelbagai aktiviti dianjurkan di Baldwin Street ini. Antara yang menarik ialah Jaffa Race. Jaffa sebenarnya merupakan coklat yang disaluti dengan candy berwarna oren berbentuk bola keluaran Cadbury dan memang dikenali di NZ. Setiap coklat Jaffa ini akan dinomborkan dan dilepaskan dari puncak lorong.


Rumah ditelan bumi akibat gempa bumi tempoh hari. Takde ler.....gambar diambil dengan lorong di"lurus"kan oleh kamera.



Kemudian kami pergi ke Dunedin Chinese Garden. Masuk ke dalam garden tu, rasa macam duduk kat China ler pulak. Memang cantik seni binanya.





Selepas kami berehat dan menikmati makan malam di The Rainforest, restoran masakan Malaysia, kami bertolak pula ke Tunnel Beach untuk menikmati keindahan pantai Otago.








Dari Tunnel Beach, kami menuju semula ke Otago Peninsula. Tujuan kali ini adalah untuk melihat penguin liar. Wife aku nak sangat tengok penguin secara natural. Bukan disebalik kaca yang pernah kami tengok dulu di Auckland. Lokasi kami dikenali sebagai Harington Point.

Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 40 minit. Kami perlu sampai ke sana sebelum Maghrib sebab penguin akan pulang ke sarang mereka dalam tempoh tersebut. Macam burung ler, pagi-pagi keluar meninggalkan sarang mencari makanan, apabila menjelang malam, pulang semula ke sarang. Jalan raya ke sana juga agak mencabar jugak ler. Dengan bengkak-bengkoknya, dan terletak di tepi lautan. Paras lautan dengan jalan raya rendah sedikit sahaja. Takde penghadang langsung antara lautan dengan jalan raya. Kalau ada pun setinggi buku lali aku jer rasanya. Sape-sape yang mabuk bawa kereta kat sini, kompem masuk laut ler jawabnya.

Setibanya di sana, sudah kelihatan beberapa buah kereta di tepi jalan. Kena perlu berjalan kaki menuruni sedikit bukit yang telah diturap laluannya jadi agak mudah buat kami. Di kaki bukit, terdapat dua orang ranjer sukarelawan sedang bertugas. Mereka memberi sedikit taklimat tentang penguin yang akan kami temui iaitu blue penguin. Blue penguin merupakan spesis penguin yang terkecil di dunia. Kami tidak dibenarkan mengambil gambar dengan menggunakan flash putih, tetapi flash berwarna merah dibenarkan. Dikhuatri falsh warna putih akan menakutkan penguin dan menyebabkan mereka akan berpindah habitat dan juga mungkin boleh menyebabkan buta pada penguin. Nampak gaya memang takde can ler kami nak bergambar sebab kamera kami kalau tanpa flash memang tak cantik. Lagipun bateri kamera dah nak kong.

Lama jugak ler kami dok tunggu tepi pantai tu. Penguin ini akan balik berperingkat-peringkat mengikut kumpulan masing-masing. Mereka akan keluar dan pulang dalam kumpulan bukan berseorangan. Dan mereka juga penuh berhati-hati. Apabila dah keluar dari laut tu, kadang-kadang mereka dok tunggu tepi laut tu sampai setengah jam. Jalan sikit, berhenti, tengok kiri kanan. Berhenti lagi. Lama lepas tu baru jalan balik. Jadi dari tepi laut ke sarang mereka kekadang boleh ambil masa hampir sejam jugak ler walaupun jarak tak ler jauh mana pun. Lagi gelap, lagi banyak penguin yang mula balik ke sarang masing-masing. Apabila mak bapak penguin tu dah sampai ke sarang, boleh kedengaran anak-anak mereka bising........"Horey.......mak dan abah dah balik....." (setelah diterjemahkan ke Bahasa Manusia Melayu). Memang best ler pengalaman nie. Siap seekor penguin tu datang sentuh kaki wife aku lagi. Puas hati dapat tengok penguin di habitat mereka.


Kami sampai rumah member hampir jam 11 malam dah. Anak-anak pun semua dah tertidur di dalam kereta lagi. Badan aku pun dah letih berjalan satu hari suntuk. Harap-harap malam nie aku tak mimpikan penguin.........


Wife aku sempat snap matahari terbenam sementara menantikan ketibaan penguin.


Inilah rupa sarang blue penguin tu.



No comments:

Post a Comment